KAJANG - Penunggang motosikal antara paling ramai dikesan tidak memiliki lesen sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina yang bermula sejak 20 Januari lalu.
Rata-rata penunggang yang ditahan atas kesalahan terbabit mendakwa tidak mempunyai masa selain memberi alasan lupa untuk mengambil lesen memandu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 97,088 jenis kenderaan diperiksa sepanjang sembilan hari operasi dijalankan.
"Tiada lesen memandu antara kesalahan tertinggi direkodkan diikuti cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
"Kesalahan lain direkodkan melibatkan lesen memandu tamat tempoh serta kesalahan teknikal meliputi tidak selenggara kenderaan, tayar haus, lampu brek tidak berfungsi dan cermin gelap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media penutup Operasi Khas Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Plaza Tol Lebuhraya Kajang SILK pada Ahad.
Katanya, motosikal merupakan kenderaan paling tinggi disaman atas pelbagai kesalahan berkaitan.
"Kesalahan dilakukan penunggang motosikal didapati paling tinggi iaitu sebanyak 1,721 kes direkodkan diikuti lori melebihi 7,500 kilogram sebanyak 1,378 kes dan lori kurang 7,500 kilogram sebanyak 1,071 kes.
"Sebanyak 8,242 notis saman dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), APAD 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya," katanya.
Op Tahun Baharu Cina 2025 dilaksanakan JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta semua pihak konsesi lebuh raya.