KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam siasatan kes tembak di sebuah pusat beli-belah, di Setia Alam, Shah Alam, pada Sabtu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, siasatan antara dua jabatan itu dan Polis Kontinjen Selangor dibuat selepas suspek dilaporkan memiliki 11 rekod jenayah dan dadah.
"Setakat ini, kita belum dapat mengesahkan lagi bahawa suspek berusia 30-an itu berada dalam pengaruh dadah semasa kejadian tembak berlaku.
"Suspek hanya boleh disahkan berada di bawah pengaruh dadah sekiranya dia ditangkap serta keputusan ujian air kencingnya disahkan positif," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Isnin.
Kok Chin berkata, pihaknya akan membantu dalam melengkapkan siasatan kes berkenaan dan juga berdasarkan keperluan siasatan.
"Dalam konteks kerjasama dan bantuan siasatan, kita (JSJN) juga akan mengenal pasti rakan-rakan suspek berdasarkan rekod jenayah kesalahan berkaitan dadah yang dimilikinya untuk mengesan lelaki itu.
"Melalui maklumat yang bakal diperoleh, usaha memburu dan mengesan suspek oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi lebih mudah," katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara jabatan dalam pasukan PDRM seperti perkongsian maklumat adalah sesuatu yang lumrah dan setiap kejayaan penyelesaian kes adalah kejayaan semua pihak.
Pada Sabtu, media melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek yang sedang diburu itu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.