PUTRAJAYA - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad mendakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan 'dalang' yang mencetuskan pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Menurutnya, ia dapat dilihat melalui tindak tanduk Ahli Parlimen Gombak itu bersama sekutunya termasuklah usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang.
"Dalam soal ini saya rasa Azmin dan group (kumpulan) Azminlah yang jadi player (dalang) utama.
"Mungkin kerana dia sendiri ada agenda dia. Saya tidak tahulah. Pasal kalau ikut apa yang disebarkan, itulah yang sedang dilakukan," katanya pada sidang akhbar khas pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat tergempar yang dilakukan serentak di lokasi berbeza oleh kumpulan Azmin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas hari ini.
Mesyuarat itu dipercayai dilakukan bagi mencari kata sepakat untuk mewujudkan pakatan baharu bagi menggagalkan usaha melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, Amanah secara tegas menolak sebarang usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang.
Jelasnya, konsesus Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) lalu telah bersetuju melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Anwar akan dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara yang kelapan.
"Mana-mana usaha yang hendak bentuk kerajaan ikut pintu belakang adalah satu pengkhianatan dan kita tidak akan bersama dengan usaha itu.
"Amanah tidak ikut mana-mana pihak, kita pegang pada prinsip dan parti yang berprinsip akan bersama dengan kita juga," katanya.
Ditanya sama ada Dr Mahathir turut terlibat dengan gerakan yang sedang dilakukan Mohamed Azmin, Khalid berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk Dr Mahathir berbuat demikian.
"Saya rasa tidak ada sebab kenapa Dr Mahathir akan bersetuju (bentuk kerajaan pintu belakang) kerana kita telah bersetuju dengan permintaan Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.
"Mungkin ada yang tidak puas hati tetapi saya rasa ia bukan Tun kerana bagi saya tidak ada sebab kenapa beliau perlu bersama dengan pakatan yang lain.
"Ini kerana kita telah setuju dengan apa yang diminta partinya (Bersatu) supaya beliau diberi kuasa untuk menentukan tarikh peralihan kuasa," katanya.