JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun, denda RM80,000 dan 16 sebatan ke atas seorang bekas pegawai bank kerana melakukan penipuan pelaburan berjumlah lebih RM1.2 juta untuk diniagakan secara rakan kongsi, tahun lepas.
Majistret, Nurasidah A Rahman menetapkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Syawal Safie, 35, mengaku bersalah terhadap semua 16 pertuduhan yang dibacakan serentak terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Syawal didakwa memperdayakan 16 individu untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu kesemua individu itu dalam urusan pelaburan untuk diniagakan secara rakan kongsi.
Mohd Syawal didakwa dengan curangnya mendorong kesemua 16 individu itu menyerahkan harta dengan memasukkan sejumlah wang masing-masing antara RM20,000 dan RM170,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh bagi tujuan pelaburan untuk diniagakan secara rakan kongsi dan mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara Mac hingga Oktober tahun lepas di sekitar kawasan bandar raya ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hayati Mohd Fathullah dan M Pusppa memohon hukuman berat dikenakan kerana tertuduh menyalahgunakan jawatannya sebagai pegawai bank dengan menyasarkan semua mangsa yang merupakan penjawat awam dan kesemua mereka adalah pelanggan bank di tempat tertuduh berkhidmat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah menimbangkan hukuman paling rendah dengan alasan sudah diberhentikan kerja, menanggung kedua ibu bapanya yang sudah tua serta menyesal atas perbuatannya.
Nurasidah kemudian menetapkan hukuman setahun penjara, denda RM5,000 dan satu sebatan bagi setiap 16 pertuduhan terbabit dengan kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan, mulai hari ini. - Bernama