UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) melengkapkan kejuaraan ‘treble’ pada kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 untuk menjuarai Piala TNB di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.
Pengendali UniKL, Arul Selvaraj menyifatkan kejayaan itu amat berharga apatah lagi bukan mudah untuk meraih tiga kejuaraan sekali gus dalam satu musim.
"Ini adalah kenangan paling manis untuk menang tiga piala serta mengekalkan rekod bersih musim ini. Tahun depan, kita perlu buat persiapan awal untuk meningkatkan prestasi.
"Semua tahu nak memang lebih mudah dari nak pertahankan kejuaraan. Namun secara keseluruhan saya rasa pasukan UniKL telah bermain dengan baik sepanjang musim," katanya.
Dalam perlawanan itu, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Nabil Fikri Mohd Noor pada minit ke-13 sebelum UniKL bangkit dengan dua gol melalui Mohd Faid Farhad Mohamad Shah dan pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jali.
Mengulas lanjut kata Arul, disiplin tinggi pemain menjadi faktor penting kemenangan tersebut walaupun ketinggalan pada separuh masa permainan.
"Kami kekalkan disiplin dan apabila kami dapat menjaringkan satu gol, ia menambahkan keyakinan untuk peroleh jaringan berikutnya," katanya.
Sementara itu, pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah mengakui kelekaan barisan pemainnya terutama pada suku ketiga perlawanan mematikan hasrat pasukan pantai timur itu meraih kejuaraan musim ini.
"Momentum kami berubah apabila kehilangan khidmat Jang (Jong Hyun) yang dilayangkan kad kuning dan kesempatan ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh UniKL untuk raih jaringan.
"Apa pun tahniah kepada UniKL yang berjaya muncul juara treble musim ini," katanya.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menamatkan saingan kali ini di kedudukan ketiga menerusi kemenangan 5-2 ke atas Maybank.
Bagi saingan Piala Vivian May Soars 2020 untuk kategori wanita menyaksikan PKS Uniten mengecewakan Hockademy KL dengan kemenangan 2-1 untuk meraih gelaran juara.