PENCAPAIAN yang dilakarkan skuad badminton lelaki dan wanita pada Kejohanan Berpasukan Asia 2020 di Manila, Filipina baru-baru ini meskipun meraih naib juara belum cukup meyakinkan.
Pada kejohanan berpasukan itu, skuad lelaki negara muncul naib juara setelah tewas 1-3 kepada Indonesia, pasukan wanita pula mencipta kejutan mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas 0-3 kepada Jepun.
Keputusan itu sekali gus membolehkan Malaysia layak secara merit ke Piala Thomas dan Piala Uber 2020 yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada Mei nanti.
Sebelum itu, pada Sukan SEA baru-baru ini, skuad badminton negara berjaya meraih tiga pingat emas. Pertaruhan meletakkan pemain muda di Sukan SEA telah mencetuskan kebangkitan sukan badminton negara dan merupakan keputusan terbaik dalam tempoh 44 tahun.
Mungkin keputusan yang diraih dua kejohanan tersebut sedikit sebanyak menepis pelbagai kritikan apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) cuba mengetengahkan pemain muda di pentas tertinggi.
Namun begitu, penulis merasakan pencapaian itu belum cukup meyakinkan dan masih goyah.
Bukan untuk menafikan usaha pemain muda negara yang cuba diketengahkan BAM tetapi prestasi skuad negara masih belum meyakinkan jika dibandingkan negara-negara lain apatah lagi akan menghadapi kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber.
Apa pun, penulis cukup lega apabila akhirnya BAM menyedari kita belum cukup bagus dan keputusan merombak dan penyusunan semula struktur kejurulatihan BAM tepat pada waktunya.
Keputusan BAM melantik legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan dinantikan peminat tatkala negara ketandusan pemain yang mampu menggegarkan dunia.
Misbun sebelum ini merupakan ketua jurulatih perseorangan lelaki diberikan kontrak selama dua tahun untuk membimbing 66 pemain remaja dari Sekolah Bukit Jalil (SSBJ) berusia 13 tahun hingga 17 tahun yang dipindahkan ke Akademi Badminton Negara (ABM) sejak Januari lepas.Sekelip mataKepakaran Misbun yang terbukti melahirkan pemain bertaraf dunia bukanlah sekelip mata kerana beliau terkenal dengan prinsipnya dan latihan keras serta disiplin dalam latihan.
Sebelum ini, struktur kejurulatihan skuad remaja negara diketuai Kwan Yoke Meng sebagai ketua jurulatih dan masih tidak nampak pelapis yang mampu menggantikan Datuk Lee Chong Wei.
Keputusan memberi tanggungjawab itu kepada Misbun sangat tepat ketika program latihan skuad remaja negara ketika ini dilihat gagal melahirkan pemain muda berwibawa.
Penulis sendiri berharap bekas pemain negara itu mengulangi ‘magis’nya melahirkan pemain berkelas dunia kerana terbukti kewibawaannya melahirkan pemain digeruni di pentas antarabangsa.
Misbun juga merupakan individu yang bertanggungjawab melahirkan beberapa pemain terkemuka tempatan yang pernah menerajui ranking terbaik dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Roslin Hashim dan adiknya sendiri, Rashid.
Selepas Chong Wei menggantung raketnya, kita masih tercari-cari penggantinya walaupun pelbagai program disusun rapi BAM mencari pelapis pemain berkelas dunia.
Jelas ketiadaan Chong Wei memberi kesan besar kepada badminton negara kerana pemain-pemain sedia ada belum dapat menyaingi atau sekurang-kurangnya konsisten berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.
Setelah Misbun dilantik sebagai ‘supremo’ program pembangunan negara, penulis yakin badminton negara akan kembali menyinar sekurang-kurangnya melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia daripada ABM dalam masa beberapa tahun akan datang.
Pada masa sama, BAM perlu memberi sepenuh sokongan dan menyediakan apa sahaja keperluan bagi meneruskan program ini.
Andai ada pergolakan dan pergeseran lalu, lupakanlah dan berilah sepenuh tenaga, masa dan pengorbanan untuk pembangunan badminton negara.
Impian Misbun mahu melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia harus diiringi dengan doa dan sokongan negara. Keberanian dan cita-cita Misbun inilah yang menjadikan beliau dihormati dan penulis yakin kerja keras anak kelahiran Banting berusia 60 tahun itu mampu direalisasikan.