KUALA LUMPUR - Desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula politik yang menggemparkan negara semalam masih belum berakhir dan isu itu dijangka berterusan hari ini.
Beberapa program dijadualkan berlangsung hari ini antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada jam 2 petang.
Selain itu, DAP, satu daripada parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan, juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar susulan perkembangan politik terbaru itu di ibu pejabat parti berkenaan di ibu negara.
Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan.
Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.
Pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.
Terdahulu semalam, UMNO mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam dari 4 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bersatu juga mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dipengerusikan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu semasa beliau meninggalkan premis itu.
Beberapa Ahli Parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.
Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak 5.30 petang termasuk sebahagiannya diiringi polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana dua jam kemudian.
Anwar dalam satu majlis di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat mengenai apa yang beliau anggap sebagai satu percubaan menubuhkan sebuah kerajaan baharu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M hanya senyum, tak beri komen
20 kenderaan VIP masuk Istana Negara petang ini