Covid-19: 100 anak kapal World Dream dibenarkan pulang

Iklan
Kapal persiaran World Dream. - Foto AFP

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kesemua 100 anak kapal persiaran World Dream tidak mempunyai gejala dan keputusan ujian pengesahan koronavirus (Covid-19) yang diterima pada 23 Februari lalu adalah negatif.

Mereka dibenarkan pulang dengan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah masing-masing selama 14 hari dari tarikh mereka memasuki Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perjalanan pulang anak-anak kapal itu ke tempat masing-masing juga diaturkan sama ada diambil oleh ahli keluarga atau menggunakan kemudahan bas yang disediakan.

"KKM mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan, Majlis Keselamatan Negara, Intan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Negara dan Pasukan SMART, yang diselaraskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam memastikan proses saringan ini berjalan lancar.

Iklan

"Tahniah juga kepada semua anggota Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Makmal Kesihatan Awam Johor Bharu yang telah memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan saringan kesihatan dijalankan sebaik mungkin dan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, wakil perubatan kapal persiaran berkenaan memuji tindakan kerajaan membawa pulang anak kapal warganegara Malaysia dan memaklumkan proses saringan kesihatan yang dijalankan adalah teratur dan dikoordinasikan dengan begitu baik dan lancar.

Iklan

Sebelum ini, 100 anak kapal kapal persiaran World Dream, warganegara Malaysia menjalani kuarantin di Tanjung Pengelih, Johor sebelum dibawa ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, Johor untuk tujuan persampelan dan pengawasan bagi ujian pengesahan Covid-19.