PETALING JAYA - Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menjelaskan kehadirannya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pagi semalam adalah untuk menyatakan rasa tidak setuju terhadap pembentukan kerajaan pintu belakang.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, beliau ditanya ramai pihak mengenai kehadirannya di lokasi yang menjadi pertemuan pemimpin beberapa parti politik termasuk pembangkang semalam.
"Sebagai menjawab pertanyaan ramai, keberadaan saya di Sheraton semalam adalah untuk mengemukakan ketidaksetujuan saya terhadap kerajaan pintu belakang kepada kumpulan yang berada di hotel.
"Selepas itu, saya terus meninggalkan hotel tersebut,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di akaun Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Maria menerusi satu kenyataan berasingan berkata, Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berdasarkan mandat untuk melaksanakan reformasi.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat PH memikul tanggungjawab untuk menegakkan agenda reformasi, memastikan kemakmuran bersama dan memulihkan kuasa kepada pemilik yang sebenar rakyat.
"PH diberi amanah ini oleh rakyat...kita merupakan pakatan parti yang sama rata termasuk dengan parti Warisan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti.
"Perkara ini telah diulangi oleh Dr Mahathir Jumaat lalu dan dipersetujui secara sebulat suara oleh kepimpinan PH. Majlis Presiden PH meletakkan kepercayaan kami kepada Dr Mahathir untuk menentukan tarikh peralihan kuasa,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai cabaran masih perlu diselesaikan dan pelbagai polisi reformasi masih belum terlaksana termasuk kesaksamaan ekonomi, pilihan raya bersih dan bebas serta pembasmian penyelewengan dalam setiap lapisan masyarakat.
Menurutnya, PH perlu kekal komited dengan visi dan idealisme reformasi, memperkukuhkan akar umbi dan bersatu dalam menghadapi polemik peralihan kuasa.
"Wakil rakyat harus kekal komited dengan visi menumpukan perhatian terhadap ekonomi dan kegelisahan rakyat serta menghormati mandat diberi oleh rakyat kepada kerajaan semasa.
"Sekiranya penstrukturan semula diperlukan, ia hanya boleh dilakukan secara bersekali. Semangat perjuangan PH untuk memastikan kemakmuran bersama dan melaksanakan reformasi mesti dikekalkan.
"Sebarang perubahan yang lain tidak boleh dilaksanakan melainkan melalui proses demokrasi. Sebarang percubaan melakukan sebaliknya adalah bertentangan dengan kehendak rakyat,” katanya.