JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 21 wanita warga asing yang berkhidmat sebagai pelayan tanpa permit kerja sah dalam satu serbuan di pusat hiburan tengah bandar raya, pada malam Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, kesemua wanita yang ditahan dalam serbuan Op Noda itu berusia antara 19 hingga 42 tahun.
"Premis hiburan itu mengenakan bayaran yang berbeza mengikut kalung yang dipakai bagi mendapatkan khidmat pelayan tersebut.
"Dalam serbuan sama, pihak polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang merupakan pekerja kaunter," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah 'DJ controller' jenama Pioneer, mikrofon, komputer riba, pembesar suara, 11 helai kalung pelbagai warna tertulis nilai RM100 hingga RM10,000, dua keping resit perniagaan, wang tunai RM750 dan tiga peket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 8.17 gram.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen serta menggajikan warga asing tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan serta bekerja tanpa permit sah.
"Semakan rekod ke atas semua tangkapan mendapati tiada rekod jenayah lampau kecuali satu tangkapan yang mempunyai dua rekod lampau di bawah kesalahan dadah.
"Saringan ujian air kencing ke atas semua tangkapan mendapati kesemuanya negatif dadah manakala seorang lelaki positif dadah jenis ganja.
"Lelaki itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Ahad, manakala penjaga kaunter itu ditahan reman sehari sahaja," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kesemua tangkapan wanita telah ditahan reman (PATI) bermula hari ini hingga 26 Februari ini.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 6(1)(C) akta sama iaitu masuk dan berada dalam negara tanpa dokumen sah serta Seksyen 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Tambah beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakman Negeri Johor iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen serta Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.