Tujuh polis minta suapan hampir setengah juta

Iklan
Tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat ASP didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM500,000 dan melakukan peras ugut pada 19 September tahun lalu.

KUANTAN - Tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan meminta suapan berjumlah hampir RM500,000 dan melakukan peras ugut pada 19 September tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hanif Omar, 36, Eddy Nurazman Mohd Nozeri, 36; Helmie Yazir Ahmad, 38; Mohd Fairul Ishak, 36; Shaharuddin Abdul Hamid, 35; Irdysham Mat Husain, 35 dan Mohd Fazli Mohd Radli, 36, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa bersama-sama meminta suapan itu daripada G Nadesa Pillai melalui Chang Chin Min sebagai dorongan untuk melepaskan tiga buah lori yang membawa muatan 700 karton rokok seludup dan 59 kotak mengandungi 708 botol arak tidak bercukai serta tiga pemandu Chang Chin Min, Liew Siau Foo dan Chan Chee Choy.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di simpang masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kedaik, Rompin pada jam 3 hingga 3.30 pagi pada 19 September tahun lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2008 iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan

Kesemua tertuduh juga didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Nadesa Pillai dengan cara merampas barang seludup jika enggan membayar wang rasuah itu.

Ugutan tersebut membuatkan Nadesa Pillai terpaksa menyerahkan 700 karton rokok seludup, 59 kotak mengandungi 708 botol arak tidak bercukai kepada mereka di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kes berkenaan mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin meminta mahkamah memberikan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan meminta tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Mohamed Khairul fathi Mohamad Khir yang mewakili enam tertuduh merayu jumlah wang jaminan dikurangkan kerana kesemua anak guamnya kemungkinan akan digantung kerja dan gaji mereka ditahan.

Sementara itu, Helmie Yazir yang tidak diwakili peguam pula merayu mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan menanggung seorang isteri dan lima anak berusia antara 1 hingga 10 tahun.

"Saya bersetuju dengan syarat tambahan untuk serahkan pasport kepada mahkamah tetapi berharap wang jaminan tidak membebankan dikenakan kepada saya," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 25 Mac ini.