MELAKA TENGAH - Jentera pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari masih menjalankan tugas seperti biasa dan tidak terganggu dengan sebarang krisis politik seperti yang didakwa.
Menurut sumber, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dilihat memasuki kompleks kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh sekitar jam 8 pagi tadi.
Adly juga dikatakan mempengerusikan beberapa mesyuarat bersama jabatan serta agensi kerajaan termasuk Pengarah The Southeast Asian Minister of Education Organisation Special Education (SeaMeo SEN), Salmah Jopri.
Sehingga kini Ketua Menteri itu juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung kerajaan PH di Melaka.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP negeri yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dihubungi enggan memberi komen dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan selepas menghadiri mesyuarat partinya di Kuala Lumpur.
"Minta maaf setakat ini tidak ada apa yang boleh saya komen, apa pun tunggu selepas menyuarat DAP Pusat," katanya ringkas.
Dalam pada itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis membatalkan sidang akhbarnya yang sepatutnya berlangsung pada jam 2.30 petang ini.
Pembatalan itu dipercayai susulan tiada pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pembentukan kerajaan baharu.
Muhammad Jailani yang juga ADUN Rembia yang mewakili kerusi PKR pernah dikaitkan dengan pembentukan 'kerajaan pintu belakang' sebelum ini bersama beberapa wakil rakyat lain di Melaka.