Exco Perak jalankan tugas seperti biasa

Iklan
Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

IPOH - Mesyuarat antara Exco Kerajaan Perak tetap berjalan seperti biasa, Rabu ini kata Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, situasi itu membuktikan pentadbiran negeri masih terkawal meskipun berlaku krisis politik di peringkat Pusat.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiada apa-apa maklumat, semua nampak ok sahaja, malah kami terima panggilan untuk hadir Mesyuarat Exco lusa (Rabu), bermakna keadaan sekarang masih terkawal dan stabil," katanya kepada pemberita hari ini.

Barisan Exco Perak diwakili tiga wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (2) dan DAP (5).

Iklan

Sementara Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pengerusi Amanah negeri berkata, kemelut politik yang berlaku hari ini tidak seteruk krisis peralihan pentadbiran kerajaan di Perak pada 2009 lalu.

Iklan

Katanya, cabaran yang dihadapi gabungan parti Pakatan Rakyat (PR) ketika itu yang menyaksikan beliau sebagai menteri besar adalah lebih besar dan getir.

"Situasi semalam adalah lebih menggembirakan kerana tak sama macam saya hadapi dulu, apa yang berlaku masalah kecil sahaja, tak sebesar 11 tahun dulu.

"Saya cukup yakin, kali ini Pakatan Harapan (PH) akan stabil dan dapat meneruskan mandat rakyat sebagai kerajaan yang sah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan dari PKR, Abdul Yunus Jamhari berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai desas-desus tersebut.

Malah katanya semua exco kerajaan negeri meneruskan tugas seperti biasa.

"Setakat ini tak ada apa. Kerajaan negeri berjalan macam biasa dan kami exco serta ADUN, tugas harian kita macam biasa juga.

"Saya pun pagi tadi jam 9 dah masuk pejabat," katanya.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar dari DAP, Dr Abdul Aziz Bari pula yakin tidak ada sebarang ura-ura negatif berlaku di peringkat pentadbiran negeri.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang dibentuk atas nama reformasi dan selagi perjuangan atas nama perubahan, PH akan kekal dengan mandat yang diterima daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu.

"Setakat yang saya tahu tiada permusuhan secara terbuka dan kita pun tiada hasrat nak memecat atau membuang sesiapa.

"Sudah tentunya Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan peranan dengan menjadikan kebajikan rakyat dan kestabilan negara sebagai keutamaan mengatasi segala-segalanya," katanya.