KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam merupakan seorang yang pengalaman luas dan memegang rekod dunia kedua paling lama menjadi Putera Mahkota selepas Putera Wales, Putera Charles.
Tengku Abdullah yang dilahirkan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan menjadi Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun setelah secara rasmi dilantik sebagai Waris Ganti pada 1 Julai 1975 iaitu sehari selepas baginda genap berusia 16 tahun.
Baginda memikul amanah berkenaan selepas ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah dimasyurkan secara rasmi sebagai Sultan Pahang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 5 Mei 1974.
Putera Charles telah memegang gelaran"Putera Wales” sejak 1958.
Tengku Abdullah yang merupakan cahaya mata keempat pasangan dan juga putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Tengku Afzan Tengku Muhammad, kemudian dimasyhurkan secara rasmi pada 23 Okt 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.
Ini menjadikan baginda seorang yang cukup arif dalam selok belok hal ehwal pentadbiran negeri ditambah lagi telah dua kali dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang sebelum diumumkan akan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri oleh Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang pada hari ini.
Kali pertama Tengku Abdullah menjalankan tugas ayahanda baginda ialah pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun ketika berusia usia 20 tahun, apabila Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ke-7 (1979-1984) .
Walaupun dalam usia yang masih mentah, baginda menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik dan menyerlahkan lagi bakat kepimpinan yang diwarisi daripada ayahanda baginda itu.
Kewibawaan yang ditunjukkan itu menyebabkan Sultan Ahmad Shah berkenan sekali lagi melantik Tengku Abdullah menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 Dis 2016 selepas kesihatan baginda mula merosot.
Tengku Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 ketika Malaysia menanti pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu dikatakan membuka laluan bagi baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja akan berlangsung pada 24 Jan ini di Istana Negara bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang mengumumkan untuk melepaskan jawatan berkuatkuasa 7 Januari lepas.
Menurut beberapa laporan media, berdasar sistem putaran lima tahun Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong seterusnya selepas Sultan Kelantan adalah giliran Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, 88 diikuti Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 60 dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 62.
Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ahmad, Pekan yang ditubuhkan pada tahun Januari 1926 sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Saint Thomas, Kuantan serta di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Kesederhanaan dan sifat merendah diri yang ada pada putera raja ini membuatkan baginda begitu disenangi guru dan rakan-rakan malah amat dikenali sebagai seorang yang cerdas dalam akademik dan pelbagai lapangan sukan.
Selepas menerima pendidikan (advanced school) di Aldenham School, Elstree Hertfordshire pada tahun 1975 hingga 1978, baginda mengikuti pengajian persediaan di Davies College, London selama setahun bermula1978.
Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi di Queen Elizabeth College, Oxford University pada tahun 1981, satu pilihan disiplin akademik yang mengasah keperibadian baginda untuk menjadi seorang pemimpin.
Ketika di London, baginda mengikuti pengajian dan latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada tahun 1979 hingga 1980 di mana baginda telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Pemerintah United Kingdom, Ratu Elizabeth II.
Tengku Abdullah juga amat meminati bidang sukan malah sejak kecil lagi baginda sangat aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak, sepak raga dan atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, baginda sentiasa terpilih mewakili sekolah, daerah dan negeri di dalam permainan bola sepak.
Di atas ketokohan baginda dalam bidang itu, Tengku Abdullah juga pernah dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2013 hingga 2017 dan menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk kuota Asia bagi penggal 2015 sehingga kini.
Tengku Abdullah menamatkan zaman bujang baginda pada usia 27 tahun dengan mendirikan rumahtangga dengan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar pada 6 Mac 1986.
Baginda mempunyai empat putera dan lima puteri iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Panglima Besar Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah. - Bernama