Kita sudah biasa dengan tawaran-tawaran istimewa yang dipromosikan oleh gedung-gedung perniagaan setiap hari. Ada yang beri diskaun sehingga 70 peratus semata-mata kerana mahu melariskan jualan mereka.
Sebagai pembeli, kita tentu tidak mahu melepaskan peluang. Kata orang, jadilah pengguna yang bijak.
Maka berlakulah pembelian luar biasa. Semua berpusu-pusu untuk mendapatkan harga murah yang mungkin tidak pernah dinikmati sebelum ini.
Inilah apa yang telah terjadi pada sebuah rangkaian restoran makanan segera di seluruh negara kita pada Khamis lalu (20.2.2020). Pada hari itu, semua pelanggan berpeluang membeli empat ketul ayam goreng pada harga RM20. Biasanya harga yang dijual ialah lebih kurang RM32.
Dengar kata, pada hari itu, ada orang yang sanggup beratur lebih daripada dua jam sebelum sampai gilirannya untuk mendapatkan empat ketul ayam goreng itu.
Pada masa yang sama, teringat di negara-negara lain seperti di China, Hong Kong, dan Singapura, rakyatnya kini juga beratur membeli sesuatu barang sehingga ada yang sanggup mencuri. Mereka bukan membeli ayam goreng, tetapi topeng muka.
Demi menjaga kesihatan, ketika wabak Covid-19 masih menular, mereka rela menghabiskan masa dan menunggu penuh sabar beratur asalkan dapat membeli topeng muka.
Rakyat kita sebenarnya bernasib baik. Ketika rakyat China tidak dibenarkan keluar rumah, kita pula berasak-asak di restoran membeli ayam goreng.
Orang lain ketika ini cukup takut dengan virus dan risau dengan rezeki hari esok, lain pula kita di sini masih boleh pergi ke restoran yang kita sukai.
Kita sepatutnya jangan salahkan orang yang beratur sampai dua jam itu, tetapi pujilah kebijaksanaan gedung-gedung perniagaan yang sentiasa mencari peluang untuk melariskan jualan mereka!