KAJANG - Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal maut digilis lori di hadapan sebuah masjid Sungai Ramal Luar di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa menunggang basikal dalam perjalanan pulang dari sekolah menghala ke rumahnya.
"Sampai di lokasi kejadian tiba-tiba datang dari arah belakang sebuah lori dipercayai telah bergesel dengan basikal tersebut dan mangsa terjatuh dan digilis.
"Pemandu lori berkenaan telah melarikan diri ke balai polis kerana bimbang dicederakan oleh orang awam.
"Mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan telah datang ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan.
"Kita telah merakam keterangannya dan ujian saringan air kencing telah dibuat di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan keputusannya negatif.
"Sampel darah pemandu lori juga akan diambil di Hospital Kajang. Pemandu berkenaan akan direman di Mahkamah Kajang pada esok,” katanya.