Lelaki OKU maut digilis tren LRT selepas terjatuh atas landasan

Iklan
Mangsa seorang lelaki OKU maut selepas terjatuh di rel kereta api di Stesen LRT Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto: Bomba Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki buta maut selepas terjatuh di atas landasan dan digilis tren dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, di sini pada Sabtu.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Fadil Hesam Mohd berkata, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan pada jam 8.38 pagi.

Iklan
Iklan

Katanya, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Balai Bantuan BBP Titiwangsa telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba membawa keluar mayat mangsa yang terjatuh di rel stesen LRT Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto: Bomba Kuala Lumpur.

"Mangsa iaitu lelaki tempatan yang berstatus orang kurang upaya (OKU), telah ditemui berada di bawah landasan rel keretapi dan disahkan meninggal dunia.

Iklan

"Mangsa dipercayai merupakan OKU buta dan siasatan awal dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melintasi kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan proses penyiasatan lancar.

Pasukan bomba membawa keluar mayat mangsa yang terjatuh di rel stesen LRT Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto: Bomba Kuala Lumpur.

Iklan

Jelasnya, semua tindakan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi sepanjang operasi ini berlangsung.

"Pihak berkuasa kini sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Siasatan juga akan melibatkan pemeriksaan rekod operasi kereta api pada waktu kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 7.45 pagi dan mangsa merupakan OKU buta," ujarnya.