KUALA LANGAT - Seorang pesara guru berputih mata selepas kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi dengan mendakwa akaunnya disalah guna untuk tujuan jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, panggilan itu diterima wanita berusia 67 tahun itu pada 11 Februari lalu di Kampung Sijangkang.
Menurutnya, suspek telah mendakwa akaun telekomunikasi milik mangsa telah terlibat dalam jenayah di Seremban, Negeri Sembilan.
"Mangsa bagaimanapun menafikannya, tetapi untuk menakutkan mangsa, panggilan tersebut kononnya telah disambungkan ke 'Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban' dan diarah untuk memberi kerjasama.
"Bimbang dengan dakwaan suspek, mangsa telah memindahkan duit di dalam akaunnya ke dalam akaun suspek lebih RM300,000," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu terbabit.
Katanya, ini adalah antara salah satu modus operandi sindiket Macau Scam yang diguna dengan menyamar sebagai pihak berkuasa atau agensi berkaitan untuk memperdaya mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.