JAKARTA - INDONESIA. Lembaga Aeronautik dan Angkasa Nasional (LAPAN) telah mengeluarkan imej satelit gunung berapi Anak Krakatau yang meletus dan mencetuskan tsunami dahsyat di Selat Sunda pada akhir bulan lalu.
Gambar tersebut menunjukkan perubahan morfologi Krakatau dari Ogos 2018 hingga Januari 2019.
Iklan
Iklan
Menurut LAPAN, imej tersebut diperoleh berdasarkan pemerhatian dibuat satelit TerraSAR-X yang membandingkan keadaannya pada 30 Ogos, 29 Disember 2018 dan 9 Januari lalu.
"Ia diambil pada waktu yang sama dan terdapat perubahan morfologi yang besar pada Anak Krakatau. Pada 29 Disember lalu, bahagian barat daya gunung berapi itu didapati telah hancur kerana letusan yang mengakibatkan gelongsoran ke dasar laut.
"Walaupun telah mengalami gelongsoran, kawasan itu telah 'memulihkan dirinya' dengan cepat," ujar agensi itu dalam satu kenyataan.
Difahamkan, pengumpulan bahan vulkanik di sekitar kawah sehingga bahagian barat daya Anak Krakatau menyebabkannya kembali muncul di atas permukaan air pada 9 Januari lalu.
Sebelum ini, dua pertiga daripada ketinggian gunung berapi itu yang mencecah 338 meter dilaporkan 'hilang' kerana peningkatan aktiviti vulkanik. - Kompas.com