KUALA LUMPUR - Ringgit susut lagi berbanding dolar AS hari ini berikutan spekulasi pengaturan semula landskap politik negara.
Sentimen ini dilemahkan lagi dengan pengumuman nasihat perjalanan yang lebih lanjut mengenai wabak koronavirus (Covid-19).
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu menurun kepada 4.2310/2350 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2270 yang direkodkan semalam.
Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata, banyak amaran perjalanan terus dikeluarkan, terbaru datang dari Taiwan yang menaikkan tahap berjaga-jaga untuk Korea Selatan, ini merencatkan lagi sentimen dalam kalangan pelabur.
Sementara itu, Hong Kong turut melaporkan penurunan besar-besaran dalam eksport serta import bagi Januari.
"Jika ini adalah membayangkan hal yang akan datang, saya fikir pelabur di seluruh dunia perlu berjaga-jaga untuk menunggu perkara yang paling buruk dalam ruang lingkup ekonomi ASEAN," katanya kepada Bernama.
Semalam, Bank Negara Malaysia berkata bahawa ia sedang memantau pasaran kewangan berdasarkan perkembangan terkini dalam landskap politik negara.
BNM menyedari bahawa pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran, operasi BNM akan terus memastikan agar keadaan pasaran kewangan adalah mencukupi dan teratur.
Pada penutup, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding dengan mata wang utama yang lain.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0256/0289 daripada 3.0126/0152 yang dicatatkan semalam dan menyusut berbanding Yen kepada 3.8324/8371 daripada 3.7941/7978.
Mata wang tempatan itu turut menurun berbanding Euro kepada 4.5902/5962 daripada 4.5678/5728 dan tergelincir menentang pound kepada 5.4969/5038 daripada 5.4464/4520. - Bernama