SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan kerana ia bertentangan dengan semangat demokrasi.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini berkata, demokrasi adalah memberi peluang kepada parti politik yang berbeza ideologi untuk melawan sesama sendiri bagi mendapat hak untuk mentadbir dan melaksanakan polisi berdasarkan ideologi mereka.
"Jadi untuk berbuat demikian mereka perlu berusaha keras untuk memenangi undi dengan mengetahui sekiranya gagal mentadbir, mereka akan ditolak pada pilihan raya.
"Membentuk kerajaan perpaduan bermakna tidak akan ada pembangkang yang akan membuat semak dan imbang, selain rakyat juga tidak akan ada alternatif kepada siapa yang akan mewakili mereka," katanya.
Menurut kenyataan itu, risiko membentuk kerajaan perpaduan adalah ia boleh menjadi kleptokratik di mana semua parti berlumba untuk memperkayakan diri sendiri dan senario itu tidak boleh dibiarkan berlaku.
"Sekiranya Yang di-Pertuan Agong masih belum dapat menentukan siapa yang mempunyai majoriti di Parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka kami menggesa baginda membubarkan Parlimen dan membiarkan rakyat memilih parti atau gabungan yang mereka mahukan sebagai kerajaan selama lima tahun," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas tarik balik sokong PM, syor bubar Parlimen
Apa sebab Tun M letak jawatan?