Ahmad Faizal perlu buktikan dapat sokongan majoriti: Saarani

Iklan
Saarani (tengah) pada sidang media di Bangunan UMNO Perak hari ini.

IPOH - Muafakat Nasional Perak menggesa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuktikan beliau memiliki majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang cukup untuk kekal sebagai Menteri Besar.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kenyataan dikeluarkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ADUN yang menyokong kedudukannya dan keutuhan kerajaan negeri adalah amat meragukan.

Iklan
Iklan

"Kesangsian yang timbul ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Pengerusi DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah runtuh dan Menteri Besar kini kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

"Berdasarkan situasi politik terkini tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas Bersatu keluar dari PH," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, Ahmad Faizal perlu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal membuktikan mendapat sokongan majoriti ADUN.

"Dengan melepaskan jawatan ini bermakna tidak ada mana-mana gabungan pun dapat membentuk kerajaan sama ada PH mahupun Muafakat Nasional, dengan itu jalan terbaik adalah mengembalikan semula mandat kepada kuasa rakyat untuk memilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Iklan

"Muafakat Nasional akan membuat permohonan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum situasi politik terkini dalam masa terdekat ini," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya terbuka menerima mana-mana wakil rakyat PH untuk bersama Muafakat Nasional membentuk kerajaan dengan majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi.

"Jika mereka ikhlas dan mendapat hidayah atau memikirkan tidak tercalon dan kalah dalam pilihan raya, apa salahnya sertai Muafakat Nasional.

"Kita alu-alukan, tak ada masalah untuk terima, kita ada 28 sekarang, kalau datang dua...kita ada 30 (kerusi), kita boleh persembahkan kepada baginda Tuanku Sultan bahawa Muafakat Nasional sudah ada kerusi yang cukup membentuk kerajaan," katanya.

Hari ini, Ahmad Faizal dalam satu kenyataan menegaskan beliau masih melaksanakan tanggungjawabnya sepertimana diamanahkan dan kekal mendapat sokongan majoriti ADUN.

Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Perak masih berfungsi seperti biasa: Ahmad Faizal

Exco Perak tetap sokong Ahmad Faizal sebagai MB