Jangan cari pengasuh di Facebook

Iklan
Sidang media pelancaran infografik senarai semak panduan pemilihan pengasuh di rumah di sini, hari ini.
PUTRAJAYA - Ibu bapa dinasihati agar tidak mencari pengasuh melalui atas talian seperti laman sosial Facebook.

Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ia bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Sebaik- baiknya, ibu bapa mendapatkan pengasuh yang dikenali keluarga mahupun rakan taulan. Jangan cari di Facebook," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu melakukan senarai semak pemilihan pengasuh sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak.

"Perhatian persekitaran, keperibadian pengasuh. Sekiranya rumah terlalu banyak barang, ia tidak sesuai untuk dijadikan tempat untuk mengasuh kanak-kanak terutamanya di bawah umur empat tahun," katanya pada sidang media pelancaran infografik senarai semak panduan pemilihan pengasuh di rumah di sini hari ini.

Beliau berkata, bilangan ahli keluarga dan isi rumah yang tinggal bersama dengan pengasuh perlu diambil kira selain pengalaman serta kelayakan.

"Lihat juga respon dan perubahan tingkah laku anak termasuk menangis enggan ke rumah pengasuh," katanya.

Hannah berkata, senarai semak itu disediakan KPWKM boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa sebelum dan selepas menghantar anak kepada pengasuh.

Menurutnya, kementerian akan memperkenalkan sistem semakan pengasuh yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara.

"Kita telah maklumkan di Parlimen bahawa sistem tersebut akan dilancarkan tahun hadapan," katanya.

Katanya, sistem tersebut membolehkan ibu bapa menyemak samada pengasuh dan ahli keluarga mempunyai rekod jenayah.

"Hanya dengan memasukkan nombor kad pengenalan, sistem akan memaparkan rekod individu tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menyarankan agar pusat membeli belah menyediakan taska kepada pekerja mereka.

"Kanak-kanak juga menyumbang kepada ekonomi negara, justeru anggaplah ia sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada pekerja," katanya.

Pelancaran infografik itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri KPWKM.