KOTA KINABALU - Terdapat tanda bayi dalam kandungan hampir lemas menyebabkan seorang wanita hamil perlu menjalani proses pembedahan kecemasan selepas terkandas di tengah jalan akibat laluan terputus disebabkan cerun runtuh dalam kejadian di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan, pada Rabu.
Dalam kejadian tersebut, wanita itu bagaimanapun telah selamat melahirkan anaknya dan kedua-duanya kini dalam keadaan stabil.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.26 pagi itu apabila laluan terputus dan menyebabkan ambulans serta kenderaan kecemasan terhalang.
"Pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob, Liawan, Tambunan yang terletak berhampiran lokasi kejadian telah melakukan tindakan penilaian awal dibuat dan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran yang memerlukan pemindahan segera ke hospital.
"Susulan daripada itu Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan telah dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk membantu memindahkan pesakit dan disebabkan laluan terhalang, mereka mencari alternatif lain bagi memastian, pesakit dapat dipindahkan segera," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, hasil kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan dan penduduk kampungh berjaya memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau.
"Sebaik tiba di hospital, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.
"Ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan," katanya.
Maria berkata, melalui kejayaan misi itu menunjukkan kepentingan kerjasama dan kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka.
"Ia juga mencerminkan kecekapan pasukan dalam mengadaptasi pelan tindak balas bencana untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
"JKNS terus komited untuk memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang wanita nyaris bersalin di tengah jalan apabila perjalanannya ke hospital terkandas akibat laluan terputus susulan kejadian cerun runtuh di Jalan Ranau-Tambunan.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan keadaan ketika itu hujan manakala jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan kerana ditimbuni tanah manakala pasukan perubatan cuba membantu wanita yang diusung melalui laluan terjejas untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans.