IPOH - Kesemua enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah di Perak menyatakan sokongan penuh mengekalkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, biarpun kerajaan sedia ada bukan lagi dibentuk atas nama Pakatan Harapan (PH), sokongan tetap kekal diberikan untuk memastikan kerajaan Perak kekal seperti sedia ada.
Menurutnya, ADUN-ADUN tidak perlu mengeluarkan Akuan Bersumpah untuk membuktikan mereka menyokong Ahmad Faizal sebagai menteri besar kerana sokongan itu jelas.
"Kita takkan berikan UMNO peluang. Itu (pelawaan) kerajaan pintu belakang, be gentlemen lah. Saya beri jaminan sokongan keenam-enam ADUN tidak berubah dan saya mengarahkan kesemua ADUN jaga diri masing-masing sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku.
"Jadi jangan bergerak seorang diri dan berkumpulan. Nak kurang seorang itu boleh jadi bermacam-macam cara. Perkara ini pernah berlaku sebelum ini dan kita bimbang tiba-tiba ada yang hilang tanpa dapat dikesan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat bersama pimpinan Amanah Perak di Wisma Amanah Perak, di sini malam tadi.
Sidang media tersebut turut disertai Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mewakili Muafakat Nasional Perak meminta Ahmad Faizal perlu tampil membuktikan beliau mempunyai cukup majoriti untuk kekal sebagai menteri besar.
Dalam perkembangan sama Saarani turut menjelaskan pihaknya terbuka menerima mana-mana wakil rakyat PH untuk bersama Muafakat Nasional membentuk kerajaan dengan majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi.
[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/71490/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Ahmad-Faizal-perlu-buktikan-dapat-sokongan-majoriti-Saarani]
Sementara itu, Asmuni berkata, Ahmad Faizal tidak perlu mengemukakan bukti sokongan kepada UMNO kerana ia akan dibuktikan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
Katanya, UMNO boleh kemukakan usul undi tidak percaya ketika DUN Perak bersidang nanti jika mereka tidak percaya dengan sokongan diterima oleh Ahmad Faizal.
Beliau berkata, tindakan Bersatu pusat keluar daripada PH tidak menjejaskan kedudukan di Perak dan negeri-negeri lain.
"Kerajaan ini masih kekal status quo seperti mana yang berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Kita menyokong Ahmad Faizal. Yang keluar itu di peringkat pusat tapi di negeri tak terjejas.
"Ini bukan kerajaan caretaker sebab menteri besar tak letak jawatan dan dapat kepercayaan ahli Dewan, jalanlah," katanya.
Asmuni dalam pada itu berkata, pihaknya tidak ada sebarang halangan untuk UMNO mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum perkembangan semasa situasi di Perak.
Katanya, apabila tiba masa, semua exco dan mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mendapat perkenan.