100 keluarga golongan asnaf terima sumbangan

Iklan

JOHOR BAHRU - Seratus keluarga golongan asnaf sekitar bandar raya ini menerima sumbangan barangan dan keperluan harian menerusi Program International Kasih Amal (PIKA) anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, di Kolej Vokasional (ERT) Azizah, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor, Mohamad Ali Taib berkata sebahagian barangan seperti pakaian, kasut, permainan dan buku berkenaan dikumpulkan di Singapura oleh isteri-isteri ekspatriat di republik berkenaan bagi didermakan kepada golongan asnaf berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata penerima sumbangan terbabit dipilih berdasarkan senarai nama e-kasih.

"Sebelum ini, kami pernah menganjurkan program seumpama ini, tetapi, program itu menjurus kepada kami pergi sendiri ke rumah anak-anak yatim.

Iklan

Kali ini, Kolej Vokasional (ERT) Azizah dijadikan pusat untuk mengumpul dan mengedarkan barangan sumbangan ini yang sebahagiannya merupakan barangan baharu dan sebahagiannya lagi barangan terpakai," katanya yang ditemui pemberita di kolej berkenaan hari ini.

Mohamad Ali berkata, program berkenaan akan diteruskan dan pihaknya juga masih menunggu maklum balas daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama menganjurkan program sama di kawasan lain.

Iklan

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Mazni Johari, 29, berkata dia berasa seronok dan bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan.

"Saya berasa seronok kerana dapat memilih sendiri barangan ini dan anak-anak juga gembira kerana mereka boleh memilih barangan permainan yang semuanya masih lagi dalam keadaan baik," katanya.

Ronimah Arun, 42, turut terharu kerana terpilih menerima sumbangan dan sempat mengambil beberapa barangan seperti beg, baju dan buku. - Bernama