TANAH RATA - Pengundi di Parlimen Cameron Highlands dinasihat supaya tidak bimbang dengan keselamatan mereka untuk keluar mengundi pada PRK 26 Januari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad ketika memberi jaminan itu berkata, pihaknya mempunyai kekuatan mencukupi untuk memastikan keselamatan pengundi.
"Kepada pemilih, kita jamin ketenteraman, keadaan tenang dan terkawal. Polis akan sentiasa pantau.
"Kita sentiasa berusaha pastikan perjalanan PRK ini lancar, licin dan tidak berlaku perkara yang tidak diingini," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon PRK Cameron Highlands di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zakaria berkata seramai 1,132 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menghadapi PRK Cameron Highlands dengan 531 daripadanya bertugas pada penamaan calon hari ini.
Ditanya mengenai kawasan panas (Hotspot) pada PRK kali ini, Mohd Zakaria berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi berkenaan namun beliau enggan menyatakannya.
"Memang kita ada kenal pasti satu dua tempat tetapi berdasarkan pengalaman kita yang lepas keadaan tidaklah membimbangkan," katanya.
PRK Parlimen Cameron Highlands yang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada PRU14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.-Bernama