GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki dipenjara tiga tahun dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah mendera anak tirinya berusia 10 tahun 4 bulan di sebuah pangsapuri di sini.
Tertuduh, S Vasadha Kumar, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan sebanyak dua kali dalam bahasa Melayu dan Tamil di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa telah menganiaya dengan cara mencederakan kanak-kanak tersebut menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap penama.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum pada jam 12.30 tengah malam, 1 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin.
Ketika prosiding, Nurul Fatin berkata, perlakuan tertuduh adalah tidak berperikemanusiaan walaupun dia merupakan bapa tiri kepada mangsa dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
"Selain itu, perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan trauma.
"Mangsa juga baru berusia 10 tahun dan masih dirawat di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Hakim Norsalha Hamzah kemudian menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap serta denda dan memerintahkan hukuman penjara ditingkatkan setahun lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mengalami luka pada tangan dan kaki akibat ditekap dengan besi panas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.
Perkara itu terbongkar selepas seorang individu menjumpai kanak-kanak itu di hadapan kondominium di Pulau Tikus di sini, disyaki ditinggalkan ibunya.
Difahamkan, ibu kandung mangsa dibebaskan bagi menjadi saksi pendakwaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak 10 tahun kena dera, ditinggalkan di Pulau Tikus