KUANTAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Pahang di Kampung Jelam, Bera, malam tadi.
Kejadian melibatkan mangsa berusia 21 tahun itu dikatakan berlaku pada jam 9.30 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin berkata, seramai 44 anggota terdiri pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terlibat dalam operasi SAR itu hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian turut disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh.
"Setakat ini belum diketahui tujuan mangsa ke sungai berkenaan dan punca dia terjatuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan.