Lagi nasi kandar terkenal ditutup

Iklan
Bawani sedang memantau pegawainya memeriksa dapur restoran nasi kandar yang diarahkan tutup dalam operasi pagi tadi.

GEORGETOWN - Sebuah lagi restoran nasi kandar terkenal diarahkan tutup selepas pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjumpai hurungan lipas dalam premis tersebut.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M Bawani berkata, pihaknya menjumpai lipas ketika menjalankan operasi di restoran yang terletak di Lebuh Chulia itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, restoran itu adalah salah satu premis makanan yang diperiksa dalam Operasi Penutupan Establisymen Makanan Siri 4/2020 Bahagian Pelesenan MBPP pagi tadi.

Beliau berkata, selain Lebuh Chulia, operasi itu juga dijalankan di Lebuh Bishop, Jalan Penang dan Lebuh Queen.

Iklan

"Hari ini kita telah membuat pemeriksaan di empat buat premis makanan yang mana, keempat-empatnya diarahkan tutup. Dua daripadanya didapati ada hurungan lipas manakala dua lagi kerana mempunyai hurungan dan najis tikus.

"Ini adalah kali pertama nasi kandar tersebut diarahkan tutup dalam operasi yang dijalankan MBPP kerana didapati wujud hurungan lipas. Selain arahan menutup premis, kita juga mengeluarkan tiga kompaun dalam operasi tersebut," katanya kepada media selepas operasi di sini pagi tadi.

Iklan

Tambahnya, kompaun yang dikeluarkan adalah kerana pengendali tidak mempunyai suntikan tifoid dan berlaku pencemaran silang.

"Salah sebuah premis makanan ini didapati melakukan pencemaran bersilang iaitu meletakkan bahan mentah dengan ayam goreng. Jumlah kesemua kompaun yang dikeluarkan hari ini bernilai RM260.

"Objektif operasi ini adalah selain memberi kesedaran kepada pemilik premis, kita juga mahu orang ramai bijak memilih kedai makanan yang bersih dan berkualiti," katanya.

Bawani berkata, pada tahun ini, sebanyak empat operasi dijalankan dengan 17 premis makanan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 12 premis makanan diarahkan ditutup dan 19 kompaun bernilai keseluruhan RM1,300 dikeluarkan," katanya.

Minggu lalu, sebuah restoran nasi kandar terkenal di kompaun kerana didapati tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan selepas pemeriksaan dijalankan oleh pasukan penguatkuasa MBPP.

Restoran yang terletak di Jalan Gudwara itu dikenakan dua kompaun kerana kesalahan kebersihan iaitu meletakkan bahan mentah di atas lantai dan telur rebus tidak dibersihkan.