SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyokong tindakan siasatan dikenakan ke atas tiga penyampai radio (DJ) yang didakwa mempermainkan isu sensitif melibatkan penganut Hindu.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang mencetuskan isu sensitif seiring dengan pendiriannya sebelum ini mengenai kes penjual jagung yang memaparkan papan tanda berunsur perkauman.
"Seperti kenyataan saya sebelum ini mengenai isu pak cik jagung, kita tidak boleh menerima norma buat dahulu baru minta maaf dan selesai.
"Satu tindakan hukuman perlu diberikan kepada mereka ini dan tiada siapa pun yang boleh terkecuali dalam tindakan ini tidak kira agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan tiga DJ Era FM kini disiasat polis susulan dakwaan mempersenda agama Hindu dalam satu video yang tular pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima enam laporan berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad Akmal mempersoalkan perkembangan siasatan kes menghina agama Islam yang melibatkan selebriti, Harith Iskander dan Cecilia Yap Song.
"Saya nak tanya pada pihak berkuasa, jika tiga DJ ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Cecillia Yap dan Harith Iskander yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad SAW dan agama Islam?
"Undang-undang terpakai untuk semua, bukan terpilih mengikut sokongan orang berpengaruh,” tegas beliau.