PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan samannya ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkannya berunding dengan peguamnya semasa beliau ditahan reman pada 2018.
Hasanah, 62, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa dia tidak lagi menggunakan khidmat peguamnya, Datuk Shaharudin Ali dan tidak mahu meneruskan rayuan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke tidak membantah penarikan balik rayuan itu.
Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Hanipah Farikullah kemudiannya membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah kos.
Pada prosiding terdahulu, mahkamah telah meminta pihak pembelaan mengemukakan hujahan lanjut mengenai isu sama ada Hasanah adalah 'orang yang terkilan' di bawah undang-undang dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes.
Hasanah menyaman SPRM dan kerajaan kerana tidak membenarkan beliau berunding dengan peguamnya ketika ditahan reman selama enam hari bermula 29 Ogos 2018 bagi membantu siasatan mengenai dakwaan menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah dana kerajaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU).
Dalam saman pemulanya, Hasanah memohon satu perintah deklarasi bahawa surat pemberitahuan yang dikeluarkan oleh SPRM mengikut Seksyen 28A (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah yang melarangnya daripada berunding dengan peguam ketika dia ditahan reman, adalah bertentangan dengan Perkara 5(3) dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dia mendakwa bahawa Seksyen 28A adalah melanggar undang-undang, tidak sah dan terbatal serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.
Pada Oktober 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan memutuskan bahawa Seksyen 28A (8) dan (9) tidak bersifat mendiskriminasi kerana ia tidak menafikan hak untuk mendapatkan nasihat peguam tetapi ia lebih kepada penggantungan hak-hak itu ketika dalam tempoh tahanan reman.
Hasanah, pada 25 Oktober 2018, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan. - Bernama