Pecah rumah: Lelaki ditahan sebelum sempat ke luar negara

Iklan
Gambar Hiasan

DUNGUN - Seorang lelaki cuba melarikan diri ke luar negara selepas melakukan jenayah pecah rumah pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, hasrat suspek berusia 21 tahun itu untuk ke Australia tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu ditahan polis.

Iklan
Iklan

Suspek ditahan di Stesen Bas Kuala Dungun oleh sepasukan anggota polis, kira-kira jam 9 malam, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan Nibong di sini.

Iklan

Menurutnya, mangsa seorang wanita berusia 56 tahun yang bekerja di sebuah pejabat menyedari rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 1 petang.

"Mangsa mendapati pintu dapurnya diumpil dan bilik tidurnya dalam keadaan berselerak.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati enam jenis barangan kemas termasuk seutas jam tangan bernilai RM15,000 hilang,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Kawasan Rukun Tetangga Jalan Melati di Hotel UiTM Dungun, semalam.

Mohamad Zohan berkata, hasil siasatan, jam tangan yang dilaporkan hilang itu ditemui dalam simpanan suspek.

Katanya, suspek juga mengaku telah menggadai kesemua barangan kemas dicuri itu di Kuala Lumpur.

"Ketika ditahan suspek dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Australia untuk bekerja mengutip buah di sana.

"Siasatan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pecah rumah. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.