'Saya bukan dalang cederakan Zulfarhan'

Iklan
Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu oleh tertuduh keenam dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain bahawa dia bukan 'dalang' yang memberi arahan untuk mencederakan mangsa dengan menggunakan seterika wap.

Abdoul Hakeem Mohd Ali, 24, turut menafikan mencucuh seterika ke atas Zulfarhan bagi mendapatkan pengakuan berkenaan beberapa barangan antaranya wang tunai dan komputer riba yang didakwa dicuri mangsa.

Iklan
Iklan

"Saya tidak bersetuju saya adalah dalang dalam kejadian ini kerana pada malam itu, saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan pun," katanya.

Abdoul Hakeem Mohd Ali, 24, ketika memberi keterangan di kamar mahkamah hari ini berkata, ketika kejadian, dia merupakan ketua pada pengambilan sesi 2014 hingga 2017 UPNM dalam jurusan Ijazah Pengurusan Sumber Manusia.

Iklan

Menceritakan semula mengapa dia mencari Zulfarhan di bilik 4-10 pada 22 Mei 2017 di blok asrama Jebat, selepas mendapat aduan daripada seorang pelajar bernama Mubin Mustaza yang menghantar mesej melalui WhatsApp mengenai kehilangan duitnya dan menyebut nama Zulfarhan sebagai pihak yang terlibat.

Abdoul Hakeem berkata, Mubin juga turut bercerita mengenai kehilangan telefon bimbit, duit dan komputer riba beberapa lagi pelajar di asrama itu.

Iklan

Dalam kandungan WhatsApp berkenaan, Mubin bertanya di mana Zulfarhan berada namun dia menjawab tidak mengetahui di mana Zulfarhan ketika itu.

Menurutnya lagi, selepas menerima mesej WhatsApp itu, dia ke bilik 4-10 bagi mendapatkan penjelasan daripada Zulfarhan mengenai tuduhan Mubin itu.

Abdoul Hakeem memberitahu, tujuan dia pergi menemui Zulfarhan hanya untuk mengetahui mengenai hal sebenar.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dalam sesi pemeriksaan semula terhadap tertuduh, mempersoalkan tindakan Abdoul Hakeem yang tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak universiti, malah membiarkan mangsa tetap diseksa dengan seterika wap walaupun melihat kelakuan itu dilakukan beberapa pelajar yang mengelilingi mangsa ketika kejadian.

Julia: Jadi macam mana pada 22 Mei 2017, kamu ada di bilik 4-10?

Abdoul Hakeem: Sebab saya nak jumpa Zulfarhan

Julia: Apa kamu buat dekat 4-10?

Abdoul Hakeem: Sebab Shafiq bagi tahu Zulfarhan kat situ

Julia: Kamu kata Mubin WhatsApp kamu dan beritahu dia hilang duit dan dia syak Zulfarhan yang ambil. Selain daripada Mubin, kamu tahu orang lain yang hilang barang?

Abdoul Hakeem: Ada beberapa. Senabil, Akmal Zuhairi dan lain saya tak ingat

Julia: Mubin ada beritahu kamu tentang duit dia hilang sebab kamu ketua intake. Setuju?

Abdoul Hakeem: Setuju. Saya memang ketua intake tapi dia tanya mana Zulfarhan

Julia: Kamu pergi bilik 4-10, dan sebut beberapa nama pelajar. Senabil dan beberapa lagi. Walau dalam keadaan bilik samar tu awak boleh cam mereka sebab kamu dah kenal lama dengan mereka betul?

Abdoul Hakeem: Betul

Julia: Komputer riba dimaksudkan hilang milik siapa?

Abdoul Hakeem: Senabil, Akmal Zuhairi, Izuddin

Julia: Saya cadangkan lain-lain termasuk Akmal Zuhairi, mereka juga ada masa awak di bilik 4-10 dan terlibat soal siasat

Abdoul Hakeem: Tidak

Julia: Saya cadangkan juga kamu sebagai ketua intake turut soal tentang barang-barang

Abdoul Hakeem: Tidak bersetuju

Julia: Kamu kata ada pukul memukul. Awak pun turut sama pukul Zulfarhan untuk pastikan dia mengakui terlibat?

Abdoul Hakeem: Tidak

Dalam pada itu, Abdoul Hakeem turut mengesahkan bahawa Zulfarhan tidak pernah mengaku mencuri barangan yang dimaksudkan ketika dia berada dalam bilik tersebut.

Selain itu menurut tertuduh lagi, dia ada bangun dan cuba meleraikan keadaan tegang selepas berlaku tumbuk menumbuk dan menyuruh Zulfarhan duduk semula tapi dibantah Senabil.

Julia bagaimanapun mencadangkan berhubung kenyataan tertuduh bahawa bilangan 25 pelajar yang berada dalam bilik 4 -10 juga merupakan rakan tertuduh, namun tertuduh menjawab kurang pasti.

Ketika ditanya lagi, tertuduh berkata, dia meninggalkan bilik berkenaan kira-kira jam 4 pagi dan kembali semula ke bilik itu selepas menyiapkan tugasan kerja kursusnya.

Julia mencadangkan sebenarnya tertuduh tidak keluar dari bilik itu sehingga azan subuh berkumandang dan merupakan dalang dalam kejadian itu, namun tidak dipersetujui tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di sambung Jumaat ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala antara peguam yang mewakili semua tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi penuntut turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulfarhan kata 'jangan' semasa ditekap seterika