Keputusan terbaik untuk rakyat Kedah: Exco

Iklan
Zamri meninggalkan kediaman Menteri Besar Kedah selepas mengadakan pertemuan dengan Mukhriz malam ini.

ALOR SETAR - Exco Kedah yakin satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Kedah akan diputuskan dalam masa terdekat.

Halimaton Shaadiah Saad yang juga Ketua Srikandi penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, berkata, perbincangan kesemua Exco Kedah bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berlangsung dalam suasana tenang.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, semuanya baik-baik sahaja. Untuk rakyat Kedah, kita buat yang terbaik,” katanya, ketika ditemui selepas selesai majlis perjumpaan sepuluh Exco Kedah bersama Mukhriz di Seri Mentaloon, malam ini.

Mukhriz mengadakan perjumpaan tertutup bersama barisan Exco Kedah selama hampir dua jam, buat pertama kali selepas negara berdepan kemelut politik sehingga menyaksikan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Barisan Exco Kedah dianggotai dua Exco Bersatu, empat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga Exco dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP (1).

Manakala Exco dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zamri Yusuf berkata, kesemua Exco Kedah hadir dalam perjumpaan itu, dan disusuli dengan perjumpaan kedua pagi esok.

Iklan

"Perjumpaan bersama semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diadakan esok pagi, untuk kita bincang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan sejurus selesai perjumpaan bersama kesemua 36 ADUN Kedah, Mukhriz dijadual mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Seri Melor, Seri Mentaloon untuk mempersembahkan cadangan pembentukan kerajaan negeri.

Ia susulan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri sendiri selepas tidak lagi bersama PH.

PH Kedah yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP memiliki sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu (PKR-7, Amanah-4, DAP-2) berbanding Pas (15) dan Barisan Nasional (2).