SHAH ALAM - Kemelut politik yang berlaku ketika ini hanya memberi gambaran buruk kepada rakyat khususnya bagi anak muda dan mahasiswa yang bersusah payah keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden Gerakan Pelajar India Se-Malaysia, Arvend Aplasamy.
"Saya lihat ini satu drama politik, bukan untuk kepentingan rakyat tetapi demi kepentingan parti-parti politik dan kaum tertentu.
"Sebab kalau parti politik khususnya kerajaan PH dan pembangkang yang membentuk Muafakat Nasional benar-benar mementingkan rakyat, krisis ini tidak akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurut Arvend, berdasarkan perkembangan politik semasa, ia jelas menunjukkan perkara yang sedang berlaku sudah dirancang lama demi memenuhi nafsu politik.
"Kalau dilihat dari segi kronologinya, situasi ini seperti sudah lama dirancang. Kalau PH betul-betul mementingkan rakyat, sepatutnya mereka duduk bersama dan berbincang.
"Muafakat Nasional pula pada awalnya mahu bergabung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi mereka beri kata dua, kalau ada DAP, mereka tarik diri dan minta bubar Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat kerana jika undi daripada rakyat itu penting, tidak akan timbul idea mewujudkan kerajaan pintu belakang dan kerajaan perpaduan.
Jelasnya lagi, situasi itu memberi gambaran yang buruk kepada demokrasi yang diamalkan di negara ini kerana ia menunjukkan ahli politik boleh melakukan apa sahaja demi nafsu politik mereka.
"Kalau tak bubar Parlimen, dicadangkan pula wujudkan PH2.0. Ini mewujudkan gambaran yang menampakkan rakyat ini bodoh sebab pemimpin boleh lakukan apa sahaja dan rakyat cuma perlu duduk diam dan lihat drama ini,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Dr Mahathir untuk mewujudkan kerajaan tanpa parti politik, Arvend berkata, ia adalah idea pembentukan kerajaan perpaduan.
"Konsep kerajaan perpaduan bagus tetapi tak sesuai dibuat di Malaysia sebab perlu ada semak dan imbang. Bila dah dibentuk satu kerajaan perpaduan, tak akan ada orang yang boleh persoal kerajaan kerana semestinya mereka yang dipilih mengisi jawatan adalah kroni,”katanya.
Sehubungan itu, katanya, pilihan terbaik Parlimen perlu dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat untuk membentuk kerajaan.