Sejak 96 jam yang lalu, 30 juta rakyat Malaysia berada dalam keadaan tertanya-tanya dan soalan utama yang belegar-legar adalah apa sebenarnya sudah jadi kepada kerajaan kita?
Pada Isnin lalu, secara tiba-tiba Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tindakan itu bukan sahaja mengejutkan pemimpin-pemimpin malah rakyat keseluruhannya juga tercengang-cengang kerana situasi politik itu yang amat pantas dan di luar jangka.
Ia adalah kemuncak kepada rentetan perselisihan dalaman Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mengenai isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, maka pelantikan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik terhenti pada waktu yang sama.
Lebih mengejutkan, Dr Mahathir turut mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim pertama negara. Ke mana sebenarnya Dr Mahathir mahu membawa hala tuju negara kita?
Kisah ini tidak berhenti di situ. Tarik tali antara parti-parti utama berlangsung dan kelihatannya ramai mahukan Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri. PH mendakwa mereka ada jumlah majoriti, begitu juga dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pendirian BN dan Pas amat jelas apabila mengeluarkan kenyataan hanya bersetuju menyertai kerajaan baharu jika DAP tiada di dalamnya. Mereka juga mahukan Parlimen dibubarkan dan menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat bagi memilih kerajaan bagi menyelesaikan konflik politik yang berlaku sekarang. Jadi apakah senario politik jika Parlimen dibubarkan?
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, terdapat beberapa kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya Yang di-Pertuan Agong memilih untuk Parlimen dibubarkan.
Katanya, antara senario pertama yang mungkin berlaku ialah parti-parti yang bertarung terutamanya Muafakat Nasional akan cuba memujuk kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan parti Bersatu ke dalam gabungan mereka.
Selain itu, Shamrahayu berkata, selain pujuk-memujuk yang hampir pasti berlaku, satu lagi perkara penting adalah bagaimana Muafakat Nasional membuat persediaan dan dasar yang bakal dibawa mereka.
"Jika Parlimen dibubarkan, ia akan menjadi ujian terbesar untuk Muafakat Nasional sama ada gabungan ini mendapat sokongan rakyat ataupun tidak.
"Kita sedia maklum pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, calon BN dan Pas bertembung di banyak kerusi, jadi bagaimana kali ini mereka mengagihkan kerusi juga menjadi tarikan,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menyokong Parlimen dibubarkan kerana ‘padang permainan sama rata’, Shamrahayu berkata, kenyataan itu mungkin bermaksud rakyat diberi peluang untuk memilih kerajaan yang baharu.
"Kemungkinan (bubar Parlimen) ada, sekarang kita tidak nampak lagi siapa yang mempunyai jumlah majoriti, apapun gabungan dan parti mana yang lebih bersedia mungkin berpeluang memperoleh kemenangan,” katanya.
Sementara itu, jika Parlimen sah dibubarkan dan PRU diadakan, kita mungkin pertama kali melihat tiada parti yang akan menggunakan jentera kerajaan seperti yang kita lihat sebelum ini.
Mereka akan menggunakan segala kekuatan yang ada pada parti mereka. Jika begitu senarionya, kekuatan ini sudah pasti memihak kepada jentera BN dan Pas seperti yang kita lihat dalam beberapa Pilihan Raya Kecil sebelum ini.