Mukhriz menghadap Sultan Kedah

Iklan
Mukhriz melambai kepada petugas media yang berkumpul di hadapan Seri Mentaloon pagi tadi.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman di sini pada jam 10.15 pagi bagi memaklumkan situasi politik semasa negeri Kedah.

Terdahulu, Mukhriz dilihat keluar dari kediaman rasminya di Seri Mentaloon kira-kira jam 10 pagi setelah mengadakan pertemuan selama dua jam bersama barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan
Iklan

Malam tadi, Mukhriz turut mengadakan perjumpaan bersama barisan Exco Kedah sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur.

Barisan Exco Kedah dianggotai dua Exco Bersatu, empat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga Exco dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP (1).

Iklan

Pengunduran Bersatu daripada PH menyebabkan kerajaan Kedah turut terjejas.

PH Kedah yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP memiliki sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu PKR memiliki tujuh kerusi, Amanah (empat), DAP (dua) berbanding Pas (15) dan Barisan Nasional (2).

Iklan

Bersatu hanya memiliki sebanyak enam kerusi DUN Kedah daripada keseluruhan 36 kerusi.

Kedudukan itu menyebabkan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri sendiri.

Sekiranya Mukhriz mahu kekal sebagai Menteri Besar Kedah, Bersatu perlu mendapatkan sokongan PH dengan beroleh majoriti dua kerusi atau memilih bekerjasama dengan Pas dan BN untuk membentuk kuasa di DUN (23-13).