PENYANYI, pelakon dan pengarah, Yusry Abd Halim mengakui pada mulanya kekok untuk beraksi sebagai panel Penyiasat Suara Sumbang dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim ketiga.
Menerusi program 10 episod itu, Yusry yang dikenali dengan personalitinya yang serius dan dan tidak banyak bercakap perlu mengikut rentak Jihan Muse, Mark Adam, Shuk Sahar dan Sean Lje memeriahkan program kegemaran itu.
"Kalau ikutkan musim terdahulu, memang ada seorang panel yang sedikit serius berbanding dengan yang lain. Jadi mungkin saya mengisi tempat tersebut bagi menepati konsep program ini.
"Saya beryukur mereka memilih saya untuk berada dalam program ini kerana ia menampilkan sesuatu yang berbeza dan tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Saya lebih santai dan banyak bercakap.
"Bukan bermaksud personaliti saya berubah dalam program ini, saya masih diri saya. Cuma saya kena ikut rentak mereka yang lain untuk nampak seimbang serta tidak tenggelam dalam keriuhan mereka,” ujar Yusry
Dalam perkembangan lain, kata Yusry, 47, selepas tidak lagi bekerja sepenuh masa dengan KRU Studios, dia kini terlibat dengan kerja freelance melibatkan pelbagai produksi dengan karya yang berbeza.
"Sudah hampir dua tahun saya tidak lagi sepenuh masa dengan KRU Studios dan banyak terlibat dengan kerja sendiri bersama pelbagai produksi.
"Kalau dulu saya hanya bekerja dengan kakitangan dan ruang lingkup yang sama, tetapi sekarang kerja saya melibatkan macam-macam orang dan kepuasannya lebih terasa kerana idea boleh dikembangkan.
"KRU Studio lebih cenderung kepada projek animasi, saya pula kurang berminat dan mahu cuba pelbagai cabang lain. Bagaimana pun jika Norman perlukan saya untuk projek tertentu di KRU Studios, saya tak ada masalah untuk buat,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, suami kepada aktres Lisa Surihani itu mengakui, selepas tidak lagi terikat dengan kerja sepenuh masa, jadual kerjanya lebih santai.
"Dulu jadual kerja saya sangat padat, memang susah nak selit untuk buat benda lain. Mungkin kalau masih dengan KRU Studios, saya tak dapat terlibat dengan program ICSYVMY dan lain-lain.
"Alhamdulillah sekarang jadual boleh adjust dan ada masa untuk buat apa yang saya nak buat,” katanya yang juga merupakan pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).