SHAH ALAM – Tidak berpuas hati kerana ditegur leka bermain telefon bimbit selain akses internet disekat bapa, seorang remaja perempuan bertindak keluar dari rumahnya di Seksyen 20, di sini, sebelum dilaporkan hilang sejak Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja berumur 16 tahun lapan bulan itu daripada bapanya yang berusia 46 tahun pada jam 9.27 pagi.
"Remaja terbabit merupakan anak kedua daripada lima beradik dan bersekolah di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah selepas ditegur bapanya kerana terlalu leka menggunakan telefon bimbit dan akses internet turut disekat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa mempunyai ketinggian 158 sentimeter, berat 53 kilogram, berkulit sawo matang, dan berbadan kurus.
Katanya, ketika kali terakhir dilihat, remaja itu memakai baju putih lengan panjang, tudung hitam, seluar panjang hitam, dan membawa sebuah beg sandang.
"Satu Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang (KEP OH) telah dibuka bagi menyiasat kehilangan mangsa.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450 bagi membantu siasatan,” katanya.