Sedih lihat Taman Mini Malaysia, Asean

Iklan
Bendera negeri Perak lusuh dan koyak dan tidak diganti sekali gus tidak bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019.

MELAKA TENGAH - Selepas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari membuat teguran tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan Taman Mini Malaysia di sini, Sinar Harian kemudian meninjau lokasi pelancongan itu, semalam.

Hampa dan rasa tidak berbaloi dengan bayaran tiket dikenakan bagi seorang dewasa iaitu RM15 pada hari minggu, apabila majoriti rumah tradisional yang dikunjungi tidak diurus bermula dari luar hinggalah dalam.

Iklan
Iklan

Bukan sahaja berhabuk dan penuh najis cicak, malahan ada bilik tidur yang bantalnya tidak bersarung sekali gus memberi gambaran bahawa kehadiran pengunjung seolah-olah tidak dialu-alukan.

Antara bantal kotor yang dipamerkan kepada pengunjung selain katil yang tidak beralas.

Ada juga rumah yang lantai kayunya hampir reput, selain kayu bahagian tengah rumah tradisional Perak telah pun menyembah bumi, namun tidak diletakkan pita keselamatan.

Iklan

Bagaimanapun hanya terdapat papan tanda dilarang masuk di bahagian terbabit, itu pun hanya boleh dilihat sekiranya melangkah dari dalam rumah.

Suasana itu, tidak sesekali menggambarkan kesungguhan berikutan kerajaan negeri menguar-uarkan 2019 adalah Tahun Melawat Melaka.

Iklan

Perjalanan penulis diteruskan ke taman peliharaan, malangnya tiada seekor pun haiwan, namun dihidangkan pula dengan keadaan tidak terurus dan terabai serta diletakkan permainan dari taman tema yang tidak digunakan.

Melihat bahagian menempatkan permainan kanak-kanak sememangnya telah lama terbengkalai dan terdapat juga permainan yang ditumbuhi tumbuhan liar di dalamnya.

Dalam pada itu, rumah-rumah Asean juga masih ditutup kepada pengunjung untuk kerja membaik pulih.

Difahamkan pengunjung juga semakin berkurangan sejak dua bulan lalu dan kini hanya terdapat dua buah kedai minuman yang masih menyewa di situ dengan kadar RM400 sebulan.

Banyak faktor fasiliti terabai

Seorang kakitangan Taman Mini Malaysia dan Asean yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, setiap hari ada sahaja pekerja yang berhenti berikutan tidak tahan dengan pihak pengurusan.

"Kami harap ada perubahan dan pembaharuan kerana setiap hari ada sahaja pekerja yang berhenti,” katanya.

Siti berkata, produk pelancongan di bawah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) itu baharu sahaja bertukar pengurusan, namun tidak menampakkan sebarang perubahan.

Salah satu permainan di taman tema yang ditumbuhi tumbuhan liar dan mencacatkan pemandangan.

Menurutnya, dia juga tidak menolak disebabkan kekangan kewangan dan kurangnya kakitangan antara faktor kawasan itu seperti terabai dan tidak diurus dengan baik.

"Jika benar ada yang nak ambil alih taman ini seperti apa yang diperkatakan Ketua Menteri, kami alu-alukan,” katanya.

Amaran kerajaan negeri

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailanu Khamus berkata, sekiranya pengurusan tidak sanggup melakukan sesuatu kepada perubahan, maka eloklah ia diambil alih pihak sepatunya.

"Seperti yang Ketua Menteri maklumkan, kita masih memberi peluang kepada mereka untuk bertindak, tapi jika tak ada apa pun yang dibawa memang perlu ditukar demi memastikan produk tersebut terpelihara,” katanya.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menukar pengurusan baharu bagi produk pelancongan Taman Mini Malaysia sebagai teguran kepada pengurusan itu.

Adly berkata, teguran itu dibuat setelah beliau kurang berpuas hati dengan tahap pengendalian pengurusan terutama penyelenggaraan kawasan pelancongan tersebut sehingga ada tempat berlumut dan mencacatkan pemandangan