PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan giat mempromosikan pelancongan inap desa ke peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha itu dilakukan menerusi International Tourismus Borse (ITB) di Berlin dengan menggalakkan ejen pelancongan merasai sendiri pengalaman bercuti di inap desa sebelum memasukkan sektor tersebut dalam jadual perjalanan mereka.
"Dari segi promosi, kita membawa ramai pelancong luar negara, termasuk baru-baru ini seramai 500 pelancong dari China yang dibawa menginap di Inap Desa D'Pelandok Best.
"Selain merasai suasana kehidupan kampung, mereka juga didedahkan dengan permainan dan makanan tradisional serta diberikan pendedahan mengenai adat kenduri kahwin," katanya pada sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan TMM2026 di Lexis Hibiscus, di sini pada Khamis.
Program itu merupakan kesinambungan sesi pertama yang telah diadakan di Petaling Jaya pada Januari lalu sebagai inisiatif memperkukuh hala tuju industri pelancongan negara serta membina momentum dalam mencapai sasaran nasional menjelang TMM2026.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Nicole berkata, bagi melancarkan sektor pelancongan inap desa, kerajaan negeri turut membantu pengusaha menaik taraf kemudahan inap desa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, terdapat sekitar 15 inap desa yang beroperasi di Negeri Sembilan, dengan kebanyakannya aktif di Port Dickson.
"Kerajaan negeri juga sedang berusaha mengembangkan sektor ini ke kawasan lain seperti di Labu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kampungstay dan Homestay Negeri Sembilan, Mistam Taib berkata, persatuan itu memerlukan sekitar RM3 juta bagi tujuan pemulihan dan menaik taraf fasiliti inap desa, khususnya penyediaan dewan untuk keselesaan pelanggan menjalankan aktiviti.
"Kami memerlukan dewan kerana setiap kali ada aktiviti, kami terpaksa menyewa khemah. Dengan adanya bantuan dana, kita boleh membangunkan kemudahan ini di atas tanah kosong daripada dibiarkan terus terbiar.
"Kemudahan dewan terbuka yang sempurna bukan sahaja boleh digunakan oleh pelancong, malah boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat untuk tempahan kenduri kahwin dan aktiviti berkala lain," katanya.
Dalam pada itu, Mistam berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan daripada MOTAC dan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong secara berskala besar, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak sembilan inap desa aktif di Negeri Sembilan, antaranya di Kampung Pachitan, Kampung Rawa, Gemas, Pasoh, Kampung Sungai Buloh, Kampung Lonek dan Kampung Pelegong.