Letupan LRT Abdullah Hukum: MoT digesa laksanakan siasatan penuh - MCA

Iklan
Tangkap layar situasi ketika letupan di stesen LRT Abdullah Hukum pada malam Rabu. Tangkap layar situasi ketika letupan di stesen LRT Abdullah Hukum pada malam Rabu.
Tangkap layar situasi ketika letupan di stesen LRT Abdullah Hukum pada malam Rabu.

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MoT) digesa melancarkan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kejadian letupan di sekitar stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, kerajaan juga seharusnya memberi jaminan kepada orang awam dengan melaksanakan langkah keselamatan tambahan serta memastikan keselamatan penumpang tidak terjejas.

Iklan
Iklan

"Walaupun RapidKL mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan, insiden seperti ini menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan penyelenggaraan perkhidmatan LRT di ibu negara.

"Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook juga masih belum memberikan penjelasan mengenai isu bunyi letupan di stesen berkenaan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video penumpang LRT laluan Kelana Jaya dikejutkan dengan bunyi letupan.

Kejadian tersebut dilaporkan terjadi hanya beberapa jam selepas runtuhnya sebuah panel dinding di stesen LRT Masjid Jamek semasa hujan ribut pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan mengesahkan, tren berkenaan mengalami gangguan teknikal yang menyebabkan kepulan asap kecil dan bunyi dentuman.

Menurutnya, insiden itu berlaku pada pukul 10.43 malam Rabu dan berpunca daripada kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren bernombor 84.

Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang dan memberi jaminan akan melakukan penambahbaikan pada mutu perkhidmatannya.

Tambah Mike, permohonan maaf tanpa tindakan menyeluruh tidak lagi boleh diterima kerana gangguan perkhidmatan yang berulang boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara.

"RapidKL hanya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai kejadian di Stesen Abdullah Hukum.

"Adakah ini berpunca daripada kebakaran litar? Atau kelemahan dalam penyelenggaraan trek? Rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan," katanya.