SHAH ALAM - Pakar ekonomi percaya kerajaan sudah melakukan penelitian rapi daripada pihak berkepentingan sebelum meluluskan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB).
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendapati SEB masih mampan dan mampu menjana pendapatan, sekali gus mendorong kerajaan untuk memberi bantuan talian hayat kepada syarikat terbabit.
"Lebih-lebih lagi harga minyak sekarang dilihat masih stabil iaitu sekitar 70 hingga 80 dolar Amerika Syarikat (AS) yang mana ia mengurangkan risiko untuk SEB jatuh bankrap.
"Setiap bantuan dana itu mesti ada objektif atau sasaran tersendiri. Saya tidak rasa sasarannya ialah memerlukan SEB membayar balik kepada kerajaan. sebab itu bantuan tersebut berbentuk langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS).
"Ia supaya suatu hari nanti agensi kerajaan itu boleh mendapat pulangan daripada dana berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Ahmed Razman, peruntukan dana kepada SEB tidak memberi kesan ketara kepada ekonomi secara keseluruhan kerana nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat sekitar RM1.6 trilion.
"Sedangkan pelaburan kepada SEB hanya melibatkan RM1.1 bilion. Jadi, impak kepada ekonomi negara itu bagi saya ia tidak terlalu ketara,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, penyaluran dana kepada SEB dijangka memberi kesan kepada reformasi pekerjaan dalam syarikat tersebut.
"Apabila kerajaan memberikan dana RM1.1 bilion, sudah tentu kita tidak mahu orang sama menerajui SEB. Sebab itu perlu ada perubahan pengurusan, struktur atau kepimpinan pekerja,” ujar beliau.
Nuradli berkata, sekiranya syarikat tersebut dapat berkembang baik semula dan mampu membayar cukai tinggi kepada negara, ia dapat membantu dari aspek pendapatan negara dan pekerjaan.