BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dilihat masih belum mampu memadam badi tewas pada pusingan pertama Seluruh England sejak menyertai kejohanan berprestij tersebut tiga tahun lalu.
Biarpun beroleh inspirasi melonjak empat anak tangga untuk berada dalam kelompok ketujuh terbaik dunia, namun ia belum cukup buat mereka melepasi nasib malang tersebut.
Mereka tewas straight set kepada pasangan nombor enam dunia dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-15, 21-8 dalam masa hanya 32 minit di Arena Birmingham awal pagi Khamis.
Wei Chong bagaimanapun menolak kekalahan mereka disebabkan oleh tekanan, sebaliknya menyifatkan penampilan ketiga di pentas berprestij tersebut sebagai satu penghormatan.
"Saya tidak merasakan sebarang tekanan, tetap berasa bangga mendapat peluang untuk beraksi di sini (Seluruh England).
"Matlamat kami hanyalah untuk beraksi dengan baik tanpa memikirkan perkara lain,” katanya.
Di sebalik kekalahan tersebut, banyak kerja rumah menanti jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi.
Kai Wun pula mengakui sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka, berbanding lawan yang beraksi pada tahap optimum.
"Mereka bermain laju, berbanding kami agak perlahan. Bukan mudah untuk menentang mereka yang merupakan salah satu pasangan terbaik dunia,” katanya.
Ia adalah kekalahan pusingan awal ketiga berturut-turut pada kejohanan berprestij itu sejak penampilan sulung mereka pada tahun 2022.
Sebagai rekod, pada edisi 2023 mereka terpaksa menarik diri daripada kejohanan kerana Wei Chong mengalami kecederaan pergelangan kaki.