BEIJING - Rangkaian restoran ‘hotpot’ terkenal China, Haidilao terpaksa memohon maaf dan menawarkan pampasan kepada lebih 4,000 pelanggan selepas dua remaja lelaki didapati melakukan perbuatan tidak senonoh.
Menerusi satu video tular di media sosial, memaparkan dua remaja lelaki berusia 17 tahun dalam keadaan mabuk telah berdiri di atas meja lalu kencing ke dalam periuk sup di salah satu cawangan Haidilao di Shanghai.
Pihak syarikat itu memaklumkan, insiden tersebut hanya disedari pada 6 Mac selepas siasatan dalaman dan mengakui kelemahan dalam kalangan kakitangan mereka untuk mengelakkan perbuatan tidak bermoral berlaku.
"Kejadian berkenaan berlaku awal pagi 24 Februari lalu apabila dua remaja telah bertindak kencing ke dalam periuk sup dalam keadaan mabuk.
"Memandangkan pihak pengurusan tidak pernah menghadapi atau memberikan latihan kepada staf untuk menangani situasi seperti ini, mereka juga tidak dapat mengawal tingkah laku luar jangka pelanggan di premis atau memastikan keselamatan persekitaran tempat makan,” katanya.
Sebagai langkah bertanggungjawab juga, syarikat berkenaan telah menawarkan pampasan penuh kepada semua pelanggan yang makan di cawangan itu antara 24 Februari hingga 8 Mac termasuk bayaran balik dengan jumlah 10 kali ganda.
Kedua remaja terbabit telah ditahan oleh pihak berkuasa Shanghai dan Haidilao telah memfailkan saman sivil terhadap mereka.
Syarikat itu turut berjanji untuk menilai semula protokol keselamatan dan prosedur latihan kakitangannya bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.