Johor lupus 3,223 tan sisa pepejal sehari

Iklan
Mohd Jafni (tiga dari kanan) bersama Khaled (empat dari kiri) menunjukkan papan tanda Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena bulan Ramadan pada Khamis. Mohd Jafni (tiga dari kanan) bersama Khaled (empat dari kiri) menunjukkan papan tanda Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena bulan Ramadan pada Khamis.
Mohd Jafni (tiga dari kanan) bersama Khaled (empat dari kiri) menunjukkan papan tanda Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena bulan Ramadan pada Khamis.

KULAI – [DIKEMAS KINI] Johor merekodkan pelupusan sisa pepejal sebanyak 3,223 tan sehari dalam tempoh minggu pertama Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 4,559 tan dalam tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama rakan strategik sejak 2015 berjaya mengurangkan pembaziran makanan serta jumlah sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan.

"Pengurangan pelupusan sisa makanan ini membuktikan kejayaan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) dalam mendidik masyarakat agar mengelakkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.

Iklan

"Kejayaan ini turut disokong oleh program MySaveFood@Ramadan, di mana SWCorp bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia mengedarkan juadah tidak terjual di bazar Ramadan ke masjid, sekolah, dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus VFNW bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran di Bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed, dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Tambah Mohd Jafni, mengikut data tahun lalu, program MySaveFood@Ramadan 2024 berjaya menyelamatkan 1,339 kilogram lebihan makanan daripada 35 bazar Ramadan di Johor.

Katanya, kempen anjuran SWCorp dan rakan kolaborasi ini menyumbang kepada pencapaian sasaran Sustainable Development Goal (SDG) 12.3, iaitu mengurangkan separuh daripada sisa makanan global per kapita menjelang 2030.

"SWCorp merekodkan sisa makanan sebagai komponen utama di tapak pelupusan.

"Justeru, kempen ini memberi impak positif dalam mendidik masyarakat supaya mengelakkan pembaziran, terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini,” ujarnya.

Sementara itu, Khaled berkata, sehingga kini, sebanyak 1,585.48 kilogram makanan berjaya dikumpulkan daripada 29 bazar Ramadan di negeri ini.

"Tahun lalu, projek ini berjaya menyelamatkan 60,798.8 kilogram lebihan makanan bernilai RM717,021.18 daripada 147 bazar di seluruh negara.

"Lebihan makanan yang tidak terjual oleh peniaga bazar diselamatkan dan diagihkan kepada masjid berhampiran, pelajar institusi pengajian tinggi, serta anggota badan beruniform yang bertugas,” jelasnya.