KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pelakon veteran, Wan Maimunah bagi melepaskan rindu terhadap arwah ibunya yang telah meninggal sejak 19 tahun lepas.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna akaun Thread dikenali syukriesufian yang menyimpan hasrat untuk berjumpa pelakon tersebut yang dikatakan mirip dengan wajah arwah ibunya.
Menerusi bio di akaun lelaki tersebut turut tertera perkataan 'Mudah-mudahan raya tahun ini dapat jumpa Wan Maimunah'.
"Assalamualaikum, tahun ini saya nak tebal muka sikit. Saya tahu Wan Maimunah ada di Terengganu niaga ayam bakar, tapi agak-agak raya tahun ni beliau ada dekat mana ye?
"Saya teringin nak jumpa dia sebab wajah dia persis arwah mak. Arwah mak meninggal 19 tahun lepas tapi perasaan bersalah tu masih saya simpan sampai sekarang.
"Cuma berharap tahun ini...saya boleh lepaskan beban, masalah, dosa yang saya galas selama 19 tahun ini," katanya.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap hantaran tersebut.
Malah ada antaranya mendoakan urusan dan niat lelaki itu untuk berjumpa dengan pelakon tersebut semasa raya nanti dipermudahkan.
"Semoga dapat berjumpa. Memang nampak ada iras. Dapat lepas rindu pun jadilah.
"Berdoalah banyak-banyak. Seorang ibu pasti sudah lama maafkan anak dan bersabar ya," tulis myapilot di ruangan komen.
"Baru-baru ni tengok kat televisyen masih di bazar Terengganu. Dia berniaga dengan anaknya dan semoga berjaya serta dipermudahkan segala urusan," kata fiesyayusoff.
"Pergi dik, pergi cari dia. 19 tahun adik tanggung rasa bersalah tu... kalau ni sahaja cara untuk adik rasa tenang, pergi cari dia dan semoga ALLAH permudahkan urusan adik," ujar ilasuleiman67.
Sementara itu, menerusi perkongsian akaun lelaki tersebut dia mendakwa disahkan menghidap penyakit 'Major Depressive serta Borderline Personality Traits.
Dia juga mendakwa bakal dirujuk ke pakar psikologi untuk sesi kaunseling disebabkan 'prolong grieving'.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 68, mencuri tumpuan apabila menjual juadah berbuka puasa di gerai ayam golek 'Ferris Wheel' milik anaknya di Kampung Wakaf Beruas di Kuala Terengganu, sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Wan Maimunah, ini kali pertama dirinya terlibat secara langsung dalam perniagaan tersebut bagi memberi sokongan kepada anaknya, Muhammad Shah Muhammad, 45, selain mengambil peluang bertemu peminat di sekitar Terengganu.
Wan Maimunah lebih mesra digelar sebagai ibu berkata, gerai terletak di tepi jalan itu mula beroperasi sejak awal Ramadan lalu dan dibuka setiap hari bermula jam 3 hingga 6.30 petang.