PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 99 kertas siasatan dibuka membabitkan 308 premis pengilang dan pembungkus beras yang telah diperiksa dalam Ops Campur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 17 sampel kampit beras yang disita telah dihantar kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis.
"MARDI mempunyai teknologi yang boleh membantu KPDN dalam membuat tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat," katanya
Beliau berkata, sampel ini perlu diurus secara baik untuk pastikan bahan bukti ini boleh digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kelak.
Selasa lalu, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam mengumumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan ke atas 2,000 pengilang dan pembungkus beras di seluruh negara bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik indusri padi dan beras negara.
Sebanyak merampas 300 kampit beras dirampas daripada 213 premis pembungkus dan pengilang yang diperiksa pada Isnin lepas.
Ia membawa kepada 48 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan dibuka.
Sementara itu, Armizan menjelaskan, keputusan untuk bertindak berikutan isu beras tempatan berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Rakyat di luar sana bercerita mereka tidak mendapat bekalan, jadi apabila kita lihat bila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara rasmi mengumumkan tiada peruntukan jelas, maka KPDN melihat ruang untuk melindungi kepentingan rakyat dan pengguna menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011.
"Di bawah akta ini ada peruntukkan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu.
"Jadi kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya menjual beras dengan label import tetapi ada kandungan beras tempatan, bermakna ia ada membuat perihal dagangan palsu," katanya.
Februari lalu, MARDI mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Sampel beras yang diuji menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu diperoleh daripada KPDN dan Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras yang diambil daripada pengilang pada tahun 2023 serta 2024.
Pendedahan berkenaan mendorong pelbagai pihak menggesa tindakan tegas diambil terhadap pengilang yang menipu pengguna menjual beras import namun mengadungi kualiti beras campuran BPT.