KUALA NERUS - Lebih 300 tin terpakai dijadikan sebagai pelita untuk menghiasi keindahan tapak milik Kumpulan Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sempena Pertandingan Pelita Raya Terengganu 2025 (PeliTer @ KSNT 2025) yang diadakan di pekarangan tasik, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak di sini.
Petugas tapak PMINT, Haziq Roslimi berkata, konsep tapak pelita tersebut masih mengekalkan unsur tradisional, konsep kelestarian serta menggabungkan elemen kebudayaan Terengganu.


"Tempoh menyiapkan keseluruhan tapak ini hanya mengambil masa selama tiga hari. Jika dilihat secara keseluruhan tapak dibuat ini berbentuk penyu dan ia menggunakan bahan-bahan terpakai dan semula jadi.
"Idea dan konsep dekorasi di tapak ini memang datang daripada kami sendiri termasuk ukiran wau yang dihasilkan menggunakan papan lapis malah pelita di sini menggunakan bahan-bahan terpakai.
Mengulas lanjut, Haziq menyatakan pelbagai aktiviti menarik diadakan dalam usaha memeriahkan suasana di tapak tersebut sepanjang tempoh pertandingan itu yang berlangsung selama empat hari.
"Kita tambah konsep riadah dan santai bagi membolehkan pengunjung berpeluang bermain permainan tradisional seperti congkak dan tarik upih di tapak ini selain gerai jualan seperti makanan dan pakaian turut disediakan di sini.
"Setakat tiga jam pertama tapak ini dibuka dianggarkan lebih 300 pengunjung sudah singgah. Ia merupakan sambutan yang sangat memberangsangkan.
"Jadi kita harap dalam tempoh beberapa hari lagi ia mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk singgah ke tapak ini bagi melakukan aktiviti menarik yang disediakan," ujarnya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan berlangsung di pekarangan tasik, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak di Kuala Nerus itu melibatkan kategori pejabat daerah, agensi dan badan kerajaan.
"Seramai lapan pejabat daerah mewakili daerah masing-masing serta tujuh agensi dan jabatan termasuk wakil dari negeri jiran seperti Kelantan dan Perlis yang menyertai pertandingan ini.
"Selain itu turut melibatkan penyertaan negara luar seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia," katanya.
Razali berkata, pertandingan PeliTer @ KSNT 2025 yang diadakan sehingga 16 Mac ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM40,000.
Menurutnya, PeliTer @ KSNT 2025 turut menganjurkan pertandingan kategori media sosial menerusi platform Facebook dan TikTok dengan hadiah keseluruhan RM1,800.